CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Saturday, June 29, 2013

6 Rahsia Orang Berjaya

Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah?

Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah.


Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku “Tough Times Never Last, But Tough People Do” oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca iluvislam.com tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah

Apakah masalah anda? Anda tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin anda berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai.

Sesetengah  orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan.

Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad

Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua.

Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.

3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif

Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri anda atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis.

Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Anda

Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya.

Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup.

Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.

5.  Anda Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah

Anda mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi anda boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya anda mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna anda telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri.

Masalah boleh membuat anda lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat anda hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri anda.

6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif

Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah.

Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya?

Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru.

Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Pendek kata “Sekiranya anda tidak dapat selesaikan masalah, maka anda harus mengendalikannya”.

- Artikel iluvislam.com

Kita Bukan Lemah

Buta lagi miskin. Jauh dia berjalan menempuh laluan berliku yang tidak dapat dilihat pun oleh matanya. Bersungguh dan gagah kakinya melangkah ke teratak ilmu Nabi Muhammad S.A.W untuk bertemu baginda. Niat dihatinya ingin menuntut ilmu tentang Islam.
Namun, baginda begitu khusyuk melayani pembesar Quraisy yang ingin mendalami Islam sehingga tidak mengendahkan kehadirannya di majlis tersebut. Malah, ketika terlihat kelibat Abdullah, Rasulullah S.A.W menarik muka masam dan berpaling daripadanya. Kecacatan Abdullah membuatkan Rasulullah S.A.W tidak yakin akan kemampuannya. Merasa dirinya tersisih, dia mundur. Sedih kerana langsung tidak diendahkan oleh Rasulullah S.A.W.

Elak Pandang Rendah

Maka turunlah firman Allah yang menegur tegas sikap Rasulullah yang tidak mengendahkan seseorang yang kurang upaya seperti Abdullah, yang disebut dalam kitab Allah yang Agung:
“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang bermanfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy), maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya, padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sungguh (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan”. (‘Abasa: 1-11)
Sejak mendapat teguran ini, Rasulullah sedar akan kesilapannya dan mula melayani dan memenuhi segala keperluan Abdullah setiap kali dia bertandang.
Kekurangan yang kita miliki kadang-kala membuatkan kita tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan terasa kita seolah-olah disisihkan oleh masyarakat. Tanpa mencuba kita terus membuat spekulasi bahawa kita seorang yang lemah. Pernahkah anda merasakan diri anda seorang yang lemah? Semestinya. Anda akan mengalami perasaan ini jika anda seorang manusia yang normal.
iluvislam, kuat

Sedih Bukan Sebab Untuk Menjadi Lemah

Saya juga pernah merasakan yang demikian disaat saya kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan alasan untuk saya menjadi lemah, malah itulah punca saya menjadi lebih kuat untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita masing-masing. Disaat Allah memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mencari kekuatan itu. Ada. Saya pasti ia ada dalam setiap seorang yang bergelar manusia.
Tatkala kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu biasa. Jika ada manusia yang tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah S.A.W juga pernah merasa sedih yang amat ketika kehilangan datuk dan isteri kesayangannya. Baginda juga pernah berasa tidak mampu menanggung beban sehingga pergi memencilkan diri buat sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan keyakinan hidup baginda. Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum, malah sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam diri kita.
Betul. Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang berbeza tetapi mereka amat berkait antara satu sama lain. Kerana kita merasa kecewa, kita akan bersedih. Bersedih terlalu lama dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka kita akan menjadi lemah. Lemah di sini merujuk kepada perasaan yang tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri. Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa diri kita kurang daripada orang lain.
Kita merasakan kita tidak mampu menjadi manusia yang dapat menandingi manusia yang lain. Tidak. Manusia lain juga tidak hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat. Mereka berusaha untuk menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain? Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan berfikir  dan berdikari yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.
Pasti banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa. Satu perkara yang kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita lemah. Titisnya setiap airmata bukan bermaksud kita lemah. Allah jadikan setiap airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia.
Kita hidup bukan untuk mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan kita di akhirat kelak. Duit yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan matlamat kita. Kenapa kita harus bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?
Sering kali terdengar ungkapan ini sama ada di kaca televisyen atau dunia realiti “Saya hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat apa-apa selain pasrah dengan setiap ketentuan Allah.” Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada kata-kata ini.

Pasrah vs Redha

Pasrah itu berbeza dengan redha. Selagi anda berusaha, anda tidak lemah. Selagi anda berharap pada Allah dan  berdoa kepada-Nya, anda tidak lemah. Allah memberikan kita kekuatan untuk bertahan di muka bumi ini, kenapa kita harus mengiktiraf diri kita lemah? Orang yang kuat mentalnya tidak akan sesekali mengiktiraf dirinya lemah dan mengaku kalah pada masalah yang dihadapinya.
Ingatkah anda pada kalamullah yang disebut dalam kitab-Nya yang agung yang bermaksud :
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah: 286)
Allah menghadiahkan musibah ke atas hamba-Nya sebagai tanda sayang, kerana Dia tahu hamba-Nya mampu untuk menyelesaikan setiap musibah yang diberikan. Setiap masalah yang ada di muka bumi ini ada jalan penyelesaiannya, jika kita manusia berusaha mencari solusinya. Jika kita enggan menerima musibah daripada Allah, siapakah kita ini? Sedangkan nabi-nabi Allah, termasuk kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W juga menerima musibah yang hebat semasa hayat mereka. Dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu nikmat kehidupan.
Mungkin ada yang berfikir mereka itu nabi, kita ini cuma manusia biasa, mereka tidak sama dengan kita. Pemikiran itu salah sama sekali. Para nabi bukan malaikat. Para nabi juga manusia. Sama diciptakan dari tanah seperti kita yang hidup pada tahun 2013 ini dan tahun-tahun sebelumnya. Yang membezakan kita dengan para nabi ialah mukjizat. Mereka manusia terpilih di sisi Allah.
Kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan merupakan pengikut kepada kekasih Allah yang mulia. Kita mempunyai seorang idol yang cukup tabah ketika hayat baginda S.A.W. Adalah sangat tidak wajar untuk merasa lemah terhadap diri sendiri jika mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti baginda. Kita umatnya dan kita harus mengikut setiap apa yang diajarkan kepada kita.
Merasa lemah bukanlah sesuatu yang ditegah. Dengan merasa lemah, kita tahu di mana taraf kita sebagai manusia di muka bumi ini. Namun, ada sesetengah perkara yang perlu kita titikberatkan untuk sentiasa maju dan tabah dalam kehiduan seharian kita. Ada manusia yang menanggap dirinya sudah tabah dan enggan menitiskan airmata lagi akibat kecewa dengan peristiwa lampau.
iluvislam
Satu contoh yang mana kita harus membuka mata, dengan kelemahan kitalah kita boleh menjadi kuat. Kita merupakan hamba Allah yang paling bertuah di muka bumi ini selagi mana kita ditimpa masalah. Berhenti merasakan diri kita lemah, cuma kita perlu tahu yang kita ada kelemahan dan kelemahan itu adalah sesuatu yang kita boleh atasi dengan usaha dan tawakkal.