Penjelasan yang cukup baik berkenaan topik ''Istikharah, Dan Istisyarah.'' dari Hilal Asyraf .Terasa kebenaran dari tulisan beliau..
Istikharah. Popular di alam para muslim dan muslimah kala bercinta. Yang menggeletek jiwa saya pula adalah, istikharah ini hanya sibuk diperkatakan untuk perkahwinan sahaja.
Sedangkan, istikharah ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ mana yang patut menjadi pasangan kita. Tetapi istikharah ini adalah apa yang dididik oleh Rasulullah SAW kepada kita, dalam hendak membuat apa-apa sahaja keputusan.
Namun, apabila ‘sesetengah pihak’ mula menganggap ianya ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya ‘tepat 100%’, maka mulalah istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Bukan lagi yang membantu menenangkan jiwa dan men’thabat’kan kalbu kita.
Mengapa saya nyatakan demikian?
Di lembaran ini saya berkongsi.
Istikharah, Bila Menjadi Satu Fitnah.
Fitnah. Bukanlah ‘cakap benda tidak betul fasal fulan bin fulan atau fulanah binti fulan’. Bukan. Tetapi interprestasi fitnah yang sebenar adalah ujian yang menduga kepercayaan.
Di dalam situasi pergerakan ke arah rumahtangga ini, istikharah juga boleh menjadi satu fitnah.
Bagaimana?
Saya berikan beberapa situasi yang popular.
1 – Fulan bin Fulan telah bertunang dengan fulanah binti fulan, kemudian fulan bin fulan ini pergi beristikharah lagi selepas telah bertunang, tiba-tiba dia ‘nampak’ perempuan lain dalam mimpinya. Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudiannya dia hendak memutuskan pertunangannya dengan fulanah binti fulan, kerana dirasakan bahawa Allah telah tunjukkan bahawa pertunangannya itu satu kesilapan.
2 – Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang untuk dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu. Tetapi Fulanah binti Fulan menolak, namun Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut bahawa Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya. Membuatkan Fulanah binti Fulan serba salah untuk menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.
3 – Fulanah binti Fulan, beristikharah, dan ‘nampak’ Fulan bin Fulan. Tetapi Fulan bin Fulan tidak pula dikenalinya. Tidaklah pula mampu dicapainya. Pada masa yang sama, datang pula Fulan bin Fulan yang lain, melamarnya. Fulanah binti Fulan ini ‘hold’ dahulu untuk menerima Fulan bin Fulan yang kedua, semata-mata kerana merasakan jodohnya dengan Fulan bin Fulan yang ‘dilihatnya’. Walaupun dia sedar, dia tak mampu mencapai, mendekati, mendapatkan Fulan bin Fulan yang dilihat dalam istikharahnya itu.
Ya. Ini beberapa situasi. Serabut bukan? Hati jadi keliru, jiwa jadi serabut, kalbu rasa kontang.
Bukankah sepatutnya istikharah itu meyakinkan?
Jadi, mengapa boleh begini?
Istikharah, Dan Istisyarah.
Istisyarah. Satu perkara yang manusia sering lupa. Istisyarah adalah seperti kita meminta pendapat orang lain(Ibu Bapa contohnya), mengumpul maklumat dan pandangan terhadap situasi yang sedang kita berhadapan dengannya. Dalam konteks kita sekarang, situasi hendak memilih pasangan.
Ramai meninggalkan perkara ini.
Ini adalah antara sebab mengapa Istikharah menjadi satu perkara yang kemudiannya menyerabutkan jiwa. Kerana akhirnya kita menganggap Istikharah itu MEMANG ‘alat pencari jodoh’. Kemudian, dari celah mana, kita yakin bahawa istikharah itu akan datang dalam bentu mimpi dan tanda-tanda ajaib(nampak wajah seseorang di langit, contohnya).
Di celah-celah kepercayaan seperti inilah, syaitan menyusup dan menyuntik ‘was-was’ serta keraguan dan kekeliruan.
Kerana itu, mimpi hakikatnya tidak akan boleh menjadi dalil. Petanda-petanda ‘ajaib’ itu, bukannya dalil. Dan bukanlah sesuatu yang mesti, pada orang beristikharah, jawapannya adalah mimpi dan petanda-petanda itu.
Kadangkala, kita yang sibuk memikirkan ini dan itu, maka ia keluar dalam bentuk mimpi. Maka, apa pun yang kita nampak, kita ‘lihat’ apa yang kita nak. Di situ, kita keliru, dan kemudian sibuk menyatakan ‘Inilah dia petunjuk Tuhan’!
Kita lupa untuk bermesyuarat dahulu dengan keluarga. Sepatutnya, kita bentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan bincangkan pro dan kontranya setiap pilihan. Di situlah kita menilai dan mengimbang. Kalau dengan itu telah kita dapat nampak yang mana pilihan yang terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jika kita rasa tidak yakin, barulah istikharah. Bila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, buatlah istikharah yang kedua dan ketiga. Kemudian tetapkanlah hati, dan buatlah pilihan!
Rasulullah SAW juga, ada beberapa situasi penting, baginda tidak melakukan istikharah. Kerana baginda telah yakin, pilihan itu adalah pilihan yang tepat.
Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW hendak memilih satu kawasan yang jauh dari mata air. Para sahabat pula mencadangkan agar dipilih tempat yang dekat dengan mata air. Rasulullah SAW selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem dekat dengan mata air, terus menerima cadangan sahabat itu, tanpa diriwayatkan melakukan istikharah. Kerana, cadangan itu memang relevan dan jauh lebih baik dari cadangan baginda yang pertama tadi.
Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit, Rasulullah SAW menerimanya tanpa beristikharah. Kerana cadangan itu memang dalam pertimbangan, adalah yang terbaik.
Hadith berkenaan Istikharah pun, tidak menunjukkan kewajipan dalam melakukannya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata : “Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat..” Hadith Riwayat Imam Bukhari.
Hadith ini umum. Bukannya disebutkan bahawa ‘wajib melakukan istikharah’. Ini terbukti, apabila Rasulullah SAW sendiri, dalam beberapa hal, tidak pula melakukan istikharah.
Kemudian, tidak pernah diriwayatkan apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan, baginda beristikharah lagi. Tidak pernah.
Justeru, sesiapa yang telah membuat keputusan, hingga telah bertunang contohnya, maka buat apa beristikharah lagi? Hiduplah dengan keputusan yang telah dilakukan itu. Berusahalah dengan apa yang telah berada di dalam tangan. Melainkan, ketika pertunangan itu, berlaku perselisihan, atau telah jelas kita dengan tunang kita tidak serasi, maka di situ bolehlah kita lakukan istikharah. Bukan istikharah untuk cari jodoh lain, tetapi istikharah untuk ‘apakah putus tunang ini baik untuk aku dan dia?’. Begitu!
Dan semestinya, istisyarah jangan ditinggalkan dalam situasi sedemikian. Berbincanglah dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz ustazah yang kita rapati.
Daripada Rasulullah SAW sendiri kita belajar. Bukan daripada orang lain.
Rasulullah SAW, manusia yang Allah paling kasih. Tidak pula baginda meninggalkan mesyuarat bersama manusia, mengambil pandangan mereka, mempertimbangkannya. Di sini Rasulullah SAW mendidik kita. Yang kita perlukan adalah apa yang Allah telah ajarkan kita. Di situ, kita membuat keputusan, berdasarkan selagi keputusan itu tidak bercanggah dengan perintahNya dan ajaranNya. Bukannya kita meletakkan bulat-bulat kepada mengangkat kepala ke langit, menanti ‘wahyu yang baru’!
Sumber artikel:http://langitilahi.com/8235
guru kami ada menyebut,"selalu org terlupa mendahulukan pembuka dan terus masuk kpd wasilah penyelesai (istikharah,istisyarah).pe mbuka yg dilupakan itu ialah solat sunat taubat yg disusulkan dgn solat sunat hajat.solat taubat utk membersih diri,diikuti solat hajat utk memperbetul & menguatkan niat,barulah masuk kpd pertimbangan & keputusan (istikharah,istisyarah)"
p/s: jangan terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan.Moga kesilapan lalu menjadi pengajaran dan iktibar..
~perjalanan hidup ini masih terlalu jauh~
~perjalanan hidup ini masih terlalu jauh~